Total Pageviews

Wednesday, July 6, 2011

Kita biasanya tercari-cari kekuatan. Saya yakin, semua manusia mencari kekuatan. Tetapi, persoalannya, walaupun kita tahu sumber kekuatan kita adalah ALLAH, tetapi tubuh kita agak berat untuk bangun mendekatinya. Akhirnya, malas akan menerjah, lemah akan datang menjengah.Saat-saat ini, adalah saat-saat yang sukar. Biasanya, ramai insan bila melalui fasa ini dia akan tumbang dan jatuh tanpa bangkit kembali. Saat-saat ini ibarat avalanche yang turun dari gunung salji yang tinggi, ibarat tsunami yang menghentam dengan kedasyatan yang tak terperi.

Tetapi mu’min yang percaya dan yakin akan adanya hari untuk dia bertemu dengan ALLAH, akan sentiasa berusaha untuk berdiri. Kerana hatinya sensitif. Hatinya tidak boleh duduk diam tanpa berusaha mendekati ALLAH. Hatinya akan gusar bila hubungannya dengan ALLAH lemah.Hati yang sebeginilah yang membuatkan hentaman tsunami pun gagal untuk menumbangkan seorang mu’min.Saya teringat sahabat Rasulullah bernama Anas bin Nadhr. Ketika peperangan Uhud berkecamuk, apabila berita palsu mengenai Rasulullah telah mati terbunuh, ramai para sahabat duduk meletakkan senjata. Semangat untuk bertempur sudah hilang. Apabila Anas bin Nadhr melihat sahabat-sahabatnya berkelakuan sedemikian, maka dia bertanya,

“ Kenapakah kalian sebegini?”
Sahabat-sahabat menjawab lemah, “ Rasulullah telah terbunuh, maka apa gunanya kita meneruskan perjuangan?”

Anas bin Nadhr melaung, “ Kalau Rasulullah telah terbunuh, maka apa guna lagi kita duduk-dudk sebegini? Lebih baik kita mati mengikutinya!”Terus sahabat ini menggempur musuh, sehinggalah dia syahid dalam keadaan hancur tubuhnya, sehingga tiada siapa yang dapat mengecam dirinya adalah Anas bin Nadhr kecuali sepupu perempuannya yang mengenalinya melalui cincin yang masih tersemat pada jarinya.Orang ini nampak matlamatnya, jelas pegangannya dan semangatnya menggunung tinggi. Tiada dia tewas dengan dugaan, walau dugaan itu amat berat. Dia mempunyai hati yang kuat, sensitif, peka, yang tidak jatuh walau diserang guntur, yang tidak hancur walau dipijak. Hatinya itulah yang membuatkan seorang Anas bin Nadhr tidak terencat pemikirannya pada saat-saat genting. Akhirnya dia mendapat kemenangan, kemenangan hakiki di sisi TUHAN.

Dalam pencarian kita kepada kekuatan, maka hendaklah kita bina dahulu hati yang sensitif dan peka. Hati yang boleh memberitahu kita bahawa kita sedang lemah, hati yang boleh menegur kita jika kita tersilap langkah. Hati yang dahagakan air iman, hati yang rindukan mandian ketaqwaan.

Hati seorang HAMBA.
Jika anda mempunyai hati ini, maka anda tidak akan lagi gusar. Anda seakan-akan mempunyai penggera keselamatan yang akan berbunyi jika ada kekotoran yang menyerang atau menceroboh kehidupan kita.
Apa kata kita mula mencari tarbiyyah itu.Supaya kita boleh mendapatkan hati peka dan sensitif seperti yang saya katakan ini.Supaya kita akan menjadi sukar untuk lemah.

“Ketahuilah bahawa, dengan mengingati ALLAH itu, hati-hati akan menjadi tenang”

No comments:

Post a Comment